Wednesday, June 30, 2010

Dunia Ku...

010710

Dunia ku Sekarang mulai makin mengecil.
Teman-teman rapat semakin berkurang.
Walaupun sekarang aku berada ditengah-tengah kelompok manusia.
Seolah-olah aku berada dalam lingkungan bulatan manusia yang tak kukenali dan aku hanya memandang dalam satu ruangan hitam dan putih.

Mungkin sebab sekarang apa yang aku tau dan apa yang suka lakukan hanyalah kerja.
Kerja aku adalah kerja.
Hobi aku adalah kerja.
Masa bersosial aku adalah kerja.
Selain itu...

Bila berada dalam dunia ini, dunia freelance yang semakin membesar...
Aku mulai belajar tentang ragam manusia yang makin pelbagai.
Dan aku...
Hanya mampu tersenyum dan tergelak.

Next photoshoot...
Weekend nih di Sijangkang. Area Sub Urban.Aku rasa lah...

Oh ya, aku dah tarik diri dari kedai.
Bersama 3 teman seperjuangan ku yang lain.
Cuba untuk berubah angin.
Dan aku rasa itu pilihan yang lebih tepat.

Saturday, June 19, 2010

Lelaki Itu

Satu waktu dulu,
Aku lihat lelaki itu gigih menaip sesuatu yang tak ku fahami di atas sebuah meja didalam sebuah pejabat kecil. Tekun menulis dan menyemak kertas-kertas yang tidak ku fahami isi kandungannya. Dia mengangkat muka, tersenyum padaku.

Satu waktu dulu,
Ku lihat sesusuk badan yang diseliputi pakaian uniform. Lena di atas kerusi disudut ruang tamu. Tak mengeluh penat walau tidak bermaya.

Satu ketika dulu,
Lelaki itu berulang-alik ke sebuah bangunan yang dipanggil Hospital. Aku tau, dia lemah. Dia sakit. Tapi senyuman tak pernah lekang dari wajahnya.

Satu ketika dulu,
Aku dirotan teruk oleh mak atas masalah disiplin yang aku lakukan di sekolah. Dia berusaha meredakan kemarahan mak aku. Berusaha menghalang dari badanku menjadi landasan rotan untuk mendarat.

Satu ketika dulu,
Aku lihat sekujur badan yang makin lemah. Dan berusaha dengan kudrat yang ada untuk bertahan. Dan aku memangku kepalanya.

Dan dia pergi juga...
9 Januari 1997 jam 11.45pg

Dan hari ini,
Aku berada ditempatku kerana jasanya.
Yang tak mungkin mampu untuk aku balas untuk seumur hidupku.

Namun aku mampu berkata dengan bangga
"Dia ayahku"

Selamat Hari Bapa untuk Arwah Ayahku...

You Are Simply The best.

Abu Bakar Bin Musa

Tuesday, June 15, 2010

Manual Book

150610

Pagi yang cerah. Permai. Damai. Sedikit berhabuk dicetuskan lori-lori tanah yang bersimpang siur keluar masuk dari kiri kanan namun bukan bawah ke atas. Aku memandang dari satu sudut di tingkat kedua diatas bangunan berlapis. Sambil otak ligat berputar dan telinga disumbatkan dengan keroncong-keroncong Allahyarham Mikael.

Di satu sudut, terpunduk beg kamera berserta isi-isinya. Juga sebuah manual book untuk kamera itu. Di satu sudut yang lain, terbaring sebuah printer berskala sederhana untuk pemprosesan kertas bersaiz A3. Juga dibeli bersama dengan manual book. Mungkin juga kapal selam yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia mempunyai manual booknya yang tersendiri.

Bermula dari sekecil-kecil perkara sehingga ke ruang lingkup penciptaan berasaskan teknologi yang sukar diproses kehebatannya dalam otak kita, semuanya mempunyai manual book masing-masing. Andaikata kita dan mereka-mereka yang berkaitan menggunakan dengan sebarangan, rosak punah kacau bilau haru biru sudahnya.

Maka aku tertanya.

Adakah penciptaan kita sebagai manusia tidak mempunyai sebuah manual book?

Friday, June 11, 2010

Monoloque Itu

120610
2.22pagi

Aku masih dalam kedai. Mendengar dendangan 3 doors down sambil terus cuba menghirup nafas yang yang dirasakan semakin menyempit di sudut rongga paru-paru. Dan juga sambil membelek komik-komik yang entah bila akan sampai pada penamat. Dan aku terus ditipu.

Aku cuba menyedut asap-asap yang dulu sangat aku dambakan. Tapi seolah-olah aku tertelan asap bas mini yang hitam kelam kelibut di celah kotaraya. Dan aku mengah menahan nafas. Peluh berjurai menitik perlahan. Hilang seketika ditiup angin kipas dinding yang bertiup perlahan.

Aku harus pulang sebelum pagi kian menjengah suria. Sebelum burung berkicau riang terbang di awan. Sebelum muazim melaungkan kalimah-kalimah keramat yang melenakan ramai manusia.
Dan sebelum bermula sepak mula France di Piala Dunia.

Oh..aku lupa. Aku sekadar penyokong lalang. (Brazil,Sepanyol,Belanda,Argentina)