Friday, June 29, 2012

Hubungan

Hubungan

Satu perkataan. Punya pelbagai erti. Dan ada yang disalaherti.

Pada pendapat aku yang naif, hubungan memerlukan kita berkongsi / belajar / (aku tidak menjumpai satu perkataan untuk mendefinasikan perkataan yang aku inginkan secara tepat ) secara dua hala.

Memberi dan menerima. Meminta dan memberi. Bercakap dan mendengar. Makan dan minum. Belajar dan mengajar. Positif dan negatif. Yin dan Yang.

Kadang kita terlampau berkeras dengan "prinsip hidup" yang sebenarnya tidak pernah berdosa untuk dilanggar. Ego kita menutupi segalanya. "Ini jalan aku". "Ini cara aku". Sedang mungkin dalam sela masa, cara kita bukanlah cara terbaik untuk semua keadaan.

Aku selalu cuba mengadaptasikan cara kawan-kawan aku. Seperti bilamana aku berjumpa dengan kawan-kawan dari Kelantan, aku akan menggunakan loghat mereka sebagai tanda penghormatan aku untuk mereka. Begitu juga dengan kawan-kawan aku dari negeri-negeri yang lain. Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan lain-lain. Namun itu bukan bermakna aku lupa dengan loghat Terengganu aku yang sebati bersama darah yang mengalir. Mana mungkin aku lupa dengan akarku.

Begitu jua dengan perkara-perkara yang lain. Aku seronok untuk belajar tentang bagaimana / apa / kenapa / cara mereka berhubungan. Dan aku akan mencuba mengikut rentak yang dilagukan. Walau mungkin aku selalu gagal. Aku bukan insan Genius. Hahaha. Perlu untuk aku mengakui itu.

Mungkin cara mereka berbeza dengan cara aku. Mungkin prinsip mereka berbeza dengan aku. Namun itu sepatutnya tidak mejadi satu titik penolakan. Kerana satu titik perbezaan adalah kunci untuk membuka pintu persefahaman yang lebih luas.

Aku tidak mengatakan cara aku adalah cara terbaik. Malah mustahil!!. Namun adakah itu bermaksud cara yang lain adalah cara terbaik? Pasti juga bukan. Tidak ada cara terbaik yang mengatasi setiap cara dalam berhubung. Ianya mengikut situasi dan keadaan. Namun ini sekadar pendapat dari aku. Tidak semestinya betul.

Belajarlah cara mereka. Cubalah untuk menggunakannya. Kamu tidak pernah rugi.

Dan mungkin kita akan faham bahawa hubungan itu berkonsep dua hala dan bukan satu hala.



No comments: