Monday, January 30, 2012

Hajat Dan Hasrat

Hajat dan hasrat...

Itu adalah lumrah bagi kita manusia. Manusia akan selalu berhajat. Akan selalu berhasrat.

Pasti akan ada yang tercapai dan ada yang tidak. Akan ada yang menguntum senyum dan ada yang terkecewa.

Walau begitu, kita pasti akan terus berhajat. Akan terus berhasrat. Mungkin sampai masa dijemput pulang.

Dan bagi aku, aku sekadar hambaNya. Berkongsi dunia dengan hamba-hambaNya yang lain.

Mungkin ada yang berhajat sesuatu padaku. Sedaya aku, aku cuba ikhtiarkan. Kerna padaku, kurang elok untukku menolak hajat insan lain tanpa berusaha menunaikannya terlebih dahulu. Dan jikalau telah berusaha, namun aku tidak mampu, aku pohon maaf. Mungkin setakat itu sahaja kemampuanku.

Aku jua manusia. Yang berhajat dan berhasrat. Kadang terluah. Kadang dipendam dalam-dalam. *senyum*. Bagi aku, itulah lumrah kita manusia.

Jadi tiada salahnya kita berhajat dan berhasrat.

Pohon saja padaNya. Itu lebih baik. Kan?*senyum lagi*

Friday, January 27, 2012

Dibalik sesuatu

BismillahiRahmaniRahim...

Kita selalu memandang. Namun kita jarang melihat. Kita selalu berbual. Namun kita jarang berbicara.

Kita selalu memandang. Sekadar pandangan luaran. Kita jarang cuba menyingkap perkara disebalik itu. Kita selalu memandang zahir. Dan kita terus menilai. Sedang kilauan emas sentiasa terselindung disebalik lumpur. Sedang indah mutiara terselindung dibalik cengkerang.

Apakah kita mampu menilai mahalnya emas tanpa membersihkan lumpur?

Apakah kita mampu menghargai indahnya mutiara tanpa membuka cengkerangnya?

Apabila kita mampu menilai mahalnya emas, adakah itu bermaksud kita mampu menilai mutiara?

Kita selalu salah dalam mentafsir. Kadang diri merasa "aku faham" tapi kita jauh dari memahami.

*senyum*.Moga Allah membimbing kita dalam apa jua yang kita lakukan.

Mesin Masa

Semasa makan-makan bersama Cik Kenari,terkeluar topik tentang novel yang sama-sama kami baca. Fiksyen 302 karya Ramlee Awang Murshid. Dan topik yang kami bualkan...Mesin masa.

Is it posible?Yes, maybe from scientific view,it could be done. But from another view, or for more specific, from my point of view, should we?

Aku terfikir, kalau betul sejarah mampu diubah, adakah sejarah yang kita ketahui sekrang turut berubah? Atau, apabila seseorang mengubah sejarah dengan berpatah balik ke masa lampau, ianya akan mewujudkan satu lagi dimensi kehidupan? Maknanya kita akan ada dua dimensi kehidupan yang bergerak selari ke depan.

Atau mungkin apa yang kita tahu sehingga hari ini, tiba-tiba tertukar mengikut sejarah baru? Bagaimana otak ingin membersihkan data-data sejarah yang ada dalam otak dan menukarkan pada sejarah baru sekelip mata?

Cadangan Cik Kenari, mesin masa hanya untuk melawat dan melihat sejarah tanpa diubah apa-apa yang berlaku. Mungkin itu lebih baik.

Fuhhhh...entri yang sangat saintifik.

Wednesday, January 25, 2012

Kembara Ke BBB-PutraJaya-BBB-Shah Alam

Semalam balik dari Terengganu. Perjalanan yang kurang lelahnya berbanding perjalanan pulang ke Terengganu.

Sampai lebih kurang jam petang. Terus ke BBB. Berjumpa dengan Cik Kenari. Tapi Cik Kenari hadir dengan Viva Oren. Mula berfikir kemana ingin dilangkah kaki bersama 4 tayar. Cik Kenari mengajak ke PutraJaya. Lepak kejap di PICC. Melihat panorama PutraJaya di kala air dari awan mula menitiskan titis-titis gerimis.

Berfikir lagi memandangkan hari kian senja. Mencari tempat untuk meletakkan dahi pada tempat sujud padaNya.

"Kite gi Masjid Sultan Zainal Abidin nak?"Tanya Cik Kenari

"Jom...kite bawakkan"Ujarku dengan penuh bangga.

****

"kite rasa ikut sini lah wak"tuturku.

"Takper...takper...kita terus lagi"balas Cik Kenari.

Berpusing-pusing kami mencari Masjid Besi.

"tapi Palace Of Justice sangat cantik untuk shoot kan?"sambil memuncungkan bibir ke arah bangunan Palace Of Justice.

"Kite ingat...kite ingat..masjid tu depan Palace Of Justice"

Dan akhirnya sampai juga.

****

Sangat cantik. Masjid ini sangat cantik. Aku rasa kagum sangat. Ingin kembali kesana nanti. Kembali meletakkan dahi pada tempat sujudNya.

****

"Nak makan kat mana?"tanya ku.

"kita ada nampak restoran dekat kawasan rimbun-rimbun. Tapi kite tak penah pergi. Nak try?"

"Jom"

"Kalau mahal kite minum jer lah yer wak"ujar Cik Kenari.

Aku senyum nipis.

Dan...........

Salah jalan lagi.

****

Restoran ni aku lupa namanya. Tapi best konsepnya. Ada kolam. Ada air pancut. Ada pohon rimbun.

Kami order Mee Rebus, Fish & Chip, Laicikang, Nes O dan air suam. Harga biasa. Tak mahal sangat. Berpatutan pada pendapat aku.

Banyak yang dibualkan. Tentang pelbagai topik. Dari kerajaan hati hingga ke empayar sejarah. Pada mulanya aku lebih banyak bercakap. Tapi bila Cik Kenari buka cerita, aku lebih kepada pendengar yang setia. Angguk-angguk kepala dan tersenyum.

Tebal juga buku sejarah Cik Kenari.

****

Aku rasa penat sangat sesampai sahaja dirumah. Hanya sempat menghantar 2 sms pada Cik Kenari. Terus aku padam.

Friday, January 20, 2012

Kembara Halaman

Besok..memulakan kembara.

Kembali ke tempat darah aku tertumpah. Dahulu.

Semoga semua baik-baik sahaja.

*Diam*

Aku beku.

Thursday, January 19, 2012

Mati

Apa perasaan korang kalau korang tahu bila korang akan mati?errr.....dalam bahasa lembutnya, meninggal dunia.

Korang nak berebut-rebut buat pahala? Atau korang nak spend masa dengan orang yang tersayang (Ibu bapa, sedara mara, sepupu sepapat, gf/bf dll)?Atau korang nak bersolat siang malam mohon ampun dariNya? Atau mungkin duduk diam-diam di satu sudut sambil tersenyum memerhati dan lepaskan semuanya pergi?

Well, semua orang akan melalui saat kematian. Cuma masa yang akan menentukan. Apabila Malaikat Izrail datang, tidak akan lewat sesaat. Tidak juga cepat walau sesaat.

Bila mengingat kematian, buat aku rasa takut. Namun juga lebih tenang. Takut menghadapi balasan dosa-dosa. Tenang kerana tiada apa perlu dirisaukan untuk masa depan. Cuma terus melangkah. Lakukan yang terbaik selagi roh tersarung di jasad.

#membayangkan diri terlentang di padang rumput dibawah sepohon pokok yang merimbun di puncak bukit sambil merenung biru langit.

Wednesday, January 18, 2012

P.Ramlee

Hari ni mendengar banyak lagu-lagu lama. P.Ramlee majoriti.

Mendengar lagu-lagu nukilan Sang Genius buat aku terawang. Mungkin kerana karya beliau begitu dekat di jiwa. Kerana ia mungkin lahir dari jiwa.

Berulang-ulang mendengar Dimanakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku, Itulah Sayang, Tiada Kata Secantik Bahasa, Jangan Tinggal Daku dan Tanya Sama Hati.

Seolah ada magis pada tiap sentuhan listriknya. Pada tiap bait yang ditintanya.

Muzik sekarang tidak lagi mempunyai Sang Genius seperti beliau. Jikalau yang mampu untuk ku iktiraf Sang Genius sekarang, mungkin M.Nasir. Dan dalam generasiku, Si Gadis Yuna.

Berbakat tidak bermakna Genius. Popular bukan semesti terbaik. Sedang Terbaik belum tentu akan Popular.

Dan hari ini, sekurangnya aku masih bangga kerana P. Ramlee pernah wujud di Malaysia.

Monday, January 16, 2012

Corat Coret

Aku pandang skrin. Lama juga. Banyak yang bermain di fikiran. Namun tak tertekan pada papan kekunci di laptop.

Kalau mengikut perancangan, aku akan pulang ke kampung pada Sabtu ini. Pulang beraya. Maknanya genap setahun tragedi di Temerloh. Harap kali ini tiada apa yang berlaku. InsyaAllah.

Kali ini berhasrat selain menziarah keluarga, ingin kembali mengejar ombak dan air terjun. Lata Payung, tunggu kepulanganku.

Haish...banyak yang bermain di kotak hati. Namun akal menghalang jariku menari meluah kata-kata. Bak kata Cik Kenari,"Berdiam itu kadang emas". Lebih kurang camtu lah ayatnya.

Oh, mungkin selepas ini status di FB akan di update di blog. Mungkin. Kan Cik Kenari??*wink wink*. Oh, malam ini berjaya membuat Cik Kenari terkedu. Hahahahahaha. Ok. Dah. Cik Kenari, sila makan ubat. Jangan degil boleh tak?hahaha.

Ouh...untuk Cik Viva, lekas-lekas sembuh ye. Jaga tulang belakang ko elok-elok. Minum susu banyak-banyak. Tulang ko dah mula mereput. Aku rasa lah.

Sunday, January 15, 2012

Ya...Saya Terkena

15 / 01 / 12 Waktu malam.....

Pandang SMS yang diterima..."Jangan malas boleh tak?". Letak henset kat sebelah. Mata masih melekat di kaca TV sederhana kecil dalam keadaan berbaring. Kosong. Capai henset dan balas SMS seraya bangun dengan longlai dan tak bersemangat. Ambil kunci kereta dan rumah.

Ijam memerhati. "Mana?" soal Ijam pendek. "Makan" balas aku pendek.

"Abe masak nasi" balas Ijam. "Makanlah" balas aku pendek lagi.

***

Di Jaja Kafe Seksyen 23.

"Alahai, takder lak Uncle Bob". Duduk satu meja berkapasiti 4 namun diisi seorang makhluk. "Tea O Limau" sambil mata pandang skrin besar. Acara sukan sepak-sepak bende bulat hitam putih.

Terima satu SMS. "pat2. Online jap". Kebil-kebil. Mana satu ni?. Nak makan dulu ke online? "Ada emergency kot". Mata melilau. "Kau memang penyelamat dunia siber cafe". Al maklum, hensetku tak cukup canggih untuk beronline dikawasan yang mempunyai liputan WiFi.

Aku sempat pandang atas meja. Segenggam kunci. Segelas air. Sebakul otak-otak. Belum sempat dijamah. "InsyaAllah selamat. Bersangka baik." Aku tinggalkan meja menghala ke CC.

Aku klik YM. "Yer? naper?"

"hehehe...sajer"

****

Melangkah keluar CC dengan air mata melimpah. Ok...part ni aku tipu. Nak bagi drama.

Friday, January 13, 2012

Pelangi Awan Senja

Baru-baru ni, aku terpandang pelangi. Dibalik awan senja. Sangat cantik. SubhanaAllah!

Walau sehebat mana sains dan teknologi ciptaan manusia, kita takkan mampu menandingi kehebatan Yang Maha Pencipta. Afterall, kita sendiri adalah ciptaanNya. Am i rite?

Aku berharap, aku akan berpeluang untuk kembali menatap pelangi awan senja.

Kerna indahnya. Tidak mampu untuk ku nukilkan dengan pena tanpa titis dakwat.

Kerna kebesaran dan keagunganNya!

Wednesday, January 11, 2012

Sakit

Belakang masih sangat sakit. Kini melarat ke bahagian betis sehingga aku berjalan macam orang yang kaki tak cukup inci sebelah. Memang aku tak macho sementara ini. Rasa tekanan pada bahagian pinggang. Owh tambah lagi bahu.

Aku hilang punca memikirkan napa sakit ini tetiba datang. Mungkin kerana hampir 2 bulan aku kurang eksesais. Kalau sebelum ni, eksesais adalah perkara wajib setiap hari yang akan aku lakukan. Mungkin malas lebih menguasai diri sekarang.

Betis kiri rasa sakit sangat. Aku rasa macam nak belah ngan pisau. Tengok urat mana yang tak betul. Tulang kipas pula lenguh kedua-dua belah. Bahu sengal-sengal. Dah tua sangat ni.

Sakit...cepatlah pergi. Aku dah jeling-jeling ponstan nih.


Jangan Tekan Aku Lagi

Tolonglah...Jangan tekan aku lagi. Ketenangan yang aku baru raih dengan susah payah, jangan digoncang kembali. Kerna aku tatau sampai bila aku mampu bertahan.

Ku mohon, jangan. Aku tak mau hilang arah kembali.

Ku cuma harap, kesabaranku akan terus bertahan. Ku cuma harap ketenangan ku terus kekal.

Aku cuba bertahan sendirian. InsyaAllah. Allah bersamaku. Ku yakin.

Mungkin aku hidup, sekadar untuk melukis tawa di wajah insan lain. Alhamdulillah.

Senyumlah tembakaujiwa. Ia penawar duka. Jangan goyang.

***Entri ketika sakit belakang yang amat sangat. hahaha

Tuesday, January 10, 2012

Hati...Tenanglah

Degup sangat kuat. Jari bergetar.

Kabak-kabak jantung bagai gendang perang.

Setiap kali ia hadir, pasti bawa berita. Berita yang sedaya tidak ingin didengar. Namun berita itu jua biasanya bukan untukku.

Hati...bertenanglah.

Saturday, January 7, 2012

Pemulihan diri

Aku masih dalam proses pemulihan. Masih cuba menilai diri. Masih cuba meraih ketenangan. Susah untuk pulih bila dalam tidak sedar, aku tersasar jauh dari jalanan. Namun, tidak pernah ada perkataan putus asa. Sekurang-kurangnya dalam diksheneri hidup aku.heh!*senyum nipis*

Bulan lepas..Banyak juga duit ku terbang. Bersayap putih. Banyak bende yang beli. Banyak bende yang ku buat. Banyak perkara yang aku uruskan. Alhamdulillah. Semoga baik-baik saja.

Walaupun masih banyak urusan yang belum diselesaikan, sekurangnya aku berusaha. Dan aku cuba selesaikan dalam keadaan fikiran setenang mungkin. Walau kalut kabut sekali sekala masih mendatang.

Dan kehadiran Januari... Ku harap ada sinar menanti. Selepas kabut Disember.

Friday, January 6, 2012

Takdir

Tadi borak-borak dengan seorang teman. Seorang yang usia jauh lebih dari aku. Banyak makan garam. Aku tatau dia ada darah tinggi tak.

Terkeluar topik tentang takdir. Tentang perjalanan hidup. Tentang rencanaNya. Tentang usaha kita.

Kita sememangnya hanya diberikan sedikit ilmu olehNya. Akal ini tak mampu mentafsirkan takdir sendiri. Tak mampu melihat masa depan. Aku serahkan semuanya pada Dia. Semoga menjadi yang baik-baik.

"Ya Allah, janganlah Kau serahkanku pada diriku walau sekelip mata"-doa Nabi Muhammad S.A.W.

Pergantungan sepenuhnya pada Dia. Namun benarkah hati kita mampu? Kadang kita tetap terbabas.Bukan kadang namun selalu. Itulah kita.

Semua yang berlaku adalah rencanaNya. Semua telah tertulis sejak sebelum kita dilahirkan. Malah (kalau ajal kita masih jauh dan mempunyai pasangan) siapa pasangan cicit kita pun sudah tertulis.

Namun sabda Rasulullah s.a.w. apabila ditanya oleh sahabat tentang takdir

"Berusahalah. Kerana itu fitrah manusia"

Apa yang direncanakan olehNya untuk kita, tiada siapa yang mengetahui. Mohonlah doa dan berusahalah. Semoga kita didalah redha dan rahmatNya.

Sekadar tulisan memesan untuk diri sendiri yang seringkali alpa.

Hammet

Aku pernah menulis, aku puas bila melihat senyuman orang disekelilingku. Dan seolah segar di ingatanku, senyumannya tatkala menerima hammet. Senyuman yang mungkin aku kenang sampai akhir nafasku.

Aku hilang hammet. Namun aku rasa lapang. Sunyi namun puas. Perasaan yang aku sendiri sukar untuk tafsirkan.

Ku hanya berharap, hammet mampu menjadi peneman yang baik seperti mana dia menemani aku selama 10tahun. Menemani dia kala sunyi, sedih mahupun gembira.

Sampai masanya untuk ku menutup diari kehidupan bersama hammet. *senyum*

Thursday, January 5, 2012

Sinar

Hari ini...

Aku seolah mula kosong. Mula tenang. Walau tidak sepenuhnya. Bibirku tercoret lakaran senyuman.

Semalam

Aku dapati Cik Kenari mula menjamah makanan. Samada dia memang berselera atau tidak, yang penting dia makan. Mungkin dia sudah mula kembali mendapat sedikit kekuatan. Sedikit ketenangan. Aku bersyukur.

Kelmarin

Sedikit makanan tidak disentuh. Namun masih mampu ke MPH untuk membeli novel. Sama jua dengan Cik Kenari. Keadaan masih kabur namun ada seolah ada tanda positif.

Tika ini

Aku seperti mahu memandang biru langit. Dari celah pepohonan nan rimbun.

Mungkin dunia bukan sekadar hitam dan putih.

Wednesday, January 4, 2012

Aku (bukan sesiapa)

*Senyum*

Banyak perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Memberi ku banyak pelajaran. Aku tidak akan menunding jariku pada mereka yang lain atas kesalahanku. Tidak sama sekali. Aku memikul seluruh tanggungjawab.

Ma selalu berpesan "jadi anak lelaki sulung, abg long kene kuat"...*senyum*

Aku lah ayah pada adik-adik ku. Aku lah abang pada keluargaku. Aku sudah terbiasa dengan satu perkataan. Tanggungjawab. Tanggung dan Jawab. Aku selalu berbicara dengan diri. "ini pelajaran untukmu". "Ini pengalaman yang harus kau kutip untuk buat kau jadi lebih cekal"

Aku bukan orang yang petah berkata. Aku cuma seorang yang suka menulis. Seringkali meluah dengan pena. Pada tinta yang tidak berdakwat.

Seringkali menyembunyikan titis tangis dari pandangan mereka. Seringkali membalut luka dengan gelak tawa yang palsu. Mungkin aku sudah terlalu lama memikul amanah ini, membuat aku jadi terbius. Kebahagiaan aku letak pada senyuman orang sekeliling ku. Bukan lagi pada senyumku. Jangan percaya pada senyumku!!

Aku cuba berlaku adil pada mereka di sekelilingku. Namun aku tau. Itu di luar kemampuanku. Aku tak mampu. Mereka-mereka jua selalu berkata cuba berlaku adil. Namun aku nampak ketidakadilan. Kadang, lebih baik berdiam. Itu yang aku belajar.

Aku risau bila aku tiada nanti. Aku harap mereka akan terus tersenyum. Mungkin masa aku tak lama lagi. Harap mereka tenang-tenang sahaja. Senyumlah. Itu penwar duka.

Tuesday, January 3, 2012

Kerna Disini Ia Bermula

Ingin menulis...tapi aku kehilangan idea.

Ouh..Baru-baru ni aku sempat pulang ke Dungun. Dan aku sempat menikmati ombak ganas yang meruntuhkan tembok.

Dulu aku suka duduk tepi ombak. Ini kali pertama kaki ku teranjak ke belakang bilamana ombak menyapa kakiku.

Sungguh. Aku takut. Aku tak dapat membayangkan keadaan masa tsunami. Ombak setinggi pokok kelapa. Sungguh...Allah itu Maha Berkuasa.

Keadaan aku lihat agak teruk. Jalanraya separuh runtuh. Tembok tenggelam ke bawah. Ombak apabila malam mencecah ke atas jalanraya. Walau aku jauh dari pesisir, aku masih boleh merasakan titis ombak yang terpercik laksana gerimis dari langit.

Aku ingin ke sebuah tempat yang lama aku tinggalkan. Ke sebuah kawasan yang berteluk. Niat di hati, ingin merakam gambar untuk ku tunjukkan pada Cik Kenari. Namun sayang, titi ke sebarang sudah tiada. Untuk sampai ke kawasan itu, dulu aku melalui sebuah titi. Kerana teluk itu letaknya di sebuah kawasan yang sedikit terpisah dari tanah darat. Seperti pulau. Hampa.

Setiap kali pulang, aku tidak pernah lupa, bertanya khabar pada pantai. Walau aku sentiasa meninggalkannya, namun di hati ini sentiasa merindui bunyi ombak, tiupan angin, pasir pantai dan bau laut itu sendiri. Mungkin kerana disini aku belajar menjadi manusia. Disini akarku bermula.

Hanya ada dua tempat yang sentiasa mendatangkan ketenangan. Pantai dan air terjun. Disana sentiasa ada rasa kedamaian yang menungguku. Rasa yang seringkali menggamitku untuk pulang.

Wahai ombak, cukuplah luahan kemarahanmu. Aku sudah pulang. Moga dikau kembali tenang. Seperti dahulu.