Tuesday, January 3, 2012

Kerna Disini Ia Bermula

Ingin menulis...tapi aku kehilangan idea.

Ouh..Baru-baru ni aku sempat pulang ke Dungun. Dan aku sempat menikmati ombak ganas yang meruntuhkan tembok.

Dulu aku suka duduk tepi ombak. Ini kali pertama kaki ku teranjak ke belakang bilamana ombak menyapa kakiku.

Sungguh. Aku takut. Aku tak dapat membayangkan keadaan masa tsunami. Ombak setinggi pokok kelapa. Sungguh...Allah itu Maha Berkuasa.

Keadaan aku lihat agak teruk. Jalanraya separuh runtuh. Tembok tenggelam ke bawah. Ombak apabila malam mencecah ke atas jalanraya. Walau aku jauh dari pesisir, aku masih boleh merasakan titis ombak yang terpercik laksana gerimis dari langit.

Aku ingin ke sebuah tempat yang lama aku tinggalkan. Ke sebuah kawasan yang berteluk. Niat di hati, ingin merakam gambar untuk ku tunjukkan pada Cik Kenari. Namun sayang, titi ke sebarang sudah tiada. Untuk sampai ke kawasan itu, dulu aku melalui sebuah titi. Kerana teluk itu letaknya di sebuah kawasan yang sedikit terpisah dari tanah darat. Seperti pulau. Hampa.

Setiap kali pulang, aku tidak pernah lupa, bertanya khabar pada pantai. Walau aku sentiasa meninggalkannya, namun di hati ini sentiasa merindui bunyi ombak, tiupan angin, pasir pantai dan bau laut itu sendiri. Mungkin kerana disini aku belajar menjadi manusia. Disini akarku bermula.

Hanya ada dua tempat yang sentiasa mendatangkan ketenangan. Pantai dan air terjun. Disana sentiasa ada rasa kedamaian yang menungguku. Rasa yang seringkali menggamitku untuk pulang.

Wahai ombak, cukuplah luahan kemarahanmu. Aku sudah pulang. Moga dikau kembali tenang. Seperti dahulu.


No comments: